Navigation




Klawang Xventure 2011

Klawang Xventure




Kuala Kelawang, 9 Julai 2011, sebanyak 16 buah Suzuki Vitara telah menyertai acara KUALA KELAWANG XVENTURE di Ponak Camp kira–kira 40 kilometer dari pekan Kuala Kelawang. Aktiviti ini merupakan acara rasmi ketiga untuk Suzuki Vitara Club selepas Cabaran Offroad di Kerling bulan Mac dan Ulu Slim Ekspedisi lalu. Pasukan Suzuki Vitara dari Melaka bertindak sebagai tuan rumah. Seramai 45 orang peserta menyertai acara kali ini dan terdiri dari ahli Suzuki Vitara Perlis, Kelantan, Melaka, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor. Seawal jam 7.00 pagi , konvoi sebanyak 6 buah Suzuki Vitara dari Melaka menghala kepersimpangan Kampung Kongkoi kira-kira 20 km dari pekan Kuala Kelawang. Perjalanan ke Kuala Kelawang mengambil masa 3 jam dan memasuki laluan ‘offroad’sejauh 18km mengambil masa 1 jam. 3 buah Vitara menjadi kumpulan pertama masuk ke tapak perkhemahan untuk persiapan awal dan penyediaan litar pertandingan (SS – Special Stages).  Konvoi 11 kenderaan Suzuki Vitara  dari Kuala Lumpur yang terdiri  dari peserta Perlis, Kelantan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur dan Selangor tiba jam 11.00 pagi sebelum memasuki laluan `offroad‘ bersama dengan kenderaan Suzuki Vitara dari Melaka.



Halangan pertama perlu di tempuhi di mana peserta perlu merentasi halangan pertama iaitu melalui sungai yang berarus dan berbatu. Cabaran bermula apabila kereta pertama yang dipandu oleh `Manda‘ telah `tersangkut‘ semasa mendaki tebing sungai. Sebanyak lima buah kenderaan gagal merentasi halangan ini. Dengan kecekapan ‘marshall’ serta bantuan peserta lain semua kenderaan berjaya ditarik keluar. Secara tidak langsung di sini peserta telah diajar teknik-teknik `winching‘, `snatching‘, menarik kenderaan, kawalan stering, gear, enjin dan sebagainya.

 

Tepat jam 2.45 petang, sesi bacaan doa, pengenalan diri, taklimat pertandingan dan taklimat keselamatan telah di jalankan. Bagaimanapun tirai dibuka oleh tuan rumah dengan serangkap pantun, `KAPAL DAGANG DARI SEBERANG, SARAT MUATAN KAYU MERANTI, DARI JAUH TUAN HAMBA DATANG, KAMI DI SINI SEDIA MENANTI‘ . Pertandingan kali ini masih mengekalkan format pertandingan Antarabangsa walaupun ia sekadar sebagai aktiviti riadah dan rekreasi bersama ahli kelab.Pada Klawang Xventure kali ini satu segmen khas di perkenalkan iaitu untuk pemanduan oleh golongan wanita. Segmen pertama iaitu SS 1 (Special Stages) yang mana satu litar semulajadi dibina dengan mengambilkira aspek halangan, cabaran dan skil pemanduan. Di sini setiap peserta diuji mengenai kemahiran mengelak halangan, membuat pusingan dan mengendalikan kenderaan pacuan 4 roda secara `reverse‘. Gabungan teknik tersebut benar-benar menuntut kemahiran peserta mengendalikan kenderaan pacuan 4 roda. `Team work‘ serta kombinasi kecekapan pemandu (driver) dan pembantu pemandu (co – driver) adalah penentu kejayaan. Selain itu peserta juga diuji dari aspek kecekapan `driver‘ dan `co-driver‘ , keupayaan kenderaan dan teknik pemanduan di halangan laluan tidak rata, keadaan berpasir dan berbatu.



SS 1 yang memakan masa 1 jam 30 minit ini, telah berjaya dilepasi oleh 13 buah kenderaan dengan baik manakala dua buah kenderaan terkandas disebabkan masalah teknikal. Markah pertandingan ini di bahagikan kepada beberapa kategori iaitu ‘kelajuan, kemahiran dan fokus’. SS 1 menyaksikan saudara Ikram Hakim Mokhtar (GoodWidow) dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai pemenang. Tempat kedua oleh Norulamin (Budak jahat), tempat ketiga Ujang (Budak Baik) peserta dari Melaka. Pemenang (driver & co-driver) menerima piala pusingan, medal dan sijil penyertaan Segmen kedua iaitu SS 2, kategori wanita bermula. Seramai 8 peserta telah mengambil bahagian. Dengan mengekalkan format yang hampir sama, peserta wanita diuji aspek kecekapan pemanduan, mengelak halangan, membuat pusingan serta menguji kemahiran melalui halangan berbukit, kawasan berpasir serta berbatu. Semua peserta berjaya menamatkan pertandingan dengan baik. SS 2 pula menyaksikan Sri Sulastri Dewi Mokhtar dari Kuala Lumpur dinobatkan sebagai `OFFROAD PRINCESS‘, tempat kedua dan ketiga disandang oleh peserta dari Melaka iaitu Yuzrifa dan Mazlina. Semua pemenang menerima medal dan sijil penyertaan.

 

Acara malam dimulakan dengan menikmati `special menu‘ sebagai juadah makan malam. Acara rasmi bermula jam 8.00 malam dengan penyampaian sijil penyertaan kepada semua peserta. Diikuti dengan acara cabutan bertuah dan penyampaian piala pusingan serta medal kepada semua pemenang. Sambil didendangkan dengan alunan lagu-lagu asli peserta menikmati BBQ yang telah disediakan. Pada masa yang sama semua peserta diberi penghormatan untuk bercerita, memberi komen dan cadangan berkaitan aktiviti ini. Selayaknya seperti satu keluarga yang besar, banyak input baru telah diminitkan. Hampir semua peserta telah memberi respon yang sangat positif kepada perkembangan Kelab Vitara yang semakin matang ini. Tidak kurang yang melontarkan harapan tinggi supaya meramaikan ahli kelab. Tirai malam ditutup sempurna jam 10.30 malam dengan persembahan bunga api.



Hari kedua, bermula jam 9.00 pagi dengan acara sesi bergambar. Semua peserta sangat teruja dan memberikan kerjasama yang baik. Acara hari kedua diteruskan dengan konvoi ke air terjun Lata Kijang. Untuk sampai ke lokasi tersebut peserta terpaksa melalui halangan berbukit, jambatan kayu, tanah runtuh, jalan sempit serta bergaung. Halangan menanti sepanjang perjalanan, hanya peserta yang cekal sahaja dibenarkan. Walaubagaimanapun penat lelah menempuhi halangan berbaloi setelah sampai ke lokasi air terjun yang tersergam indah. Peserta begitu teruja kerana itulah pengalaman pertama mereka. Segala detik manis telah dirakamkan melalui lensa kamera masingmasing.



Setelah dua hari melalui saat penuh ceria, jam 1.30 petang tirai Klawang Xventure dilabuhkan dengan bacaan doa perpisahan oleh Hj Anor peserta V33. Tangan dihulur maaf dipinta. Bersalam-salaman dan lambaian tangan menjadi isyarat perpisahan. Jutaan terima kasih dikalungkan kepada semua yang terlibat. Suzuki Vitara Club ‘Kklawang Exventure’ berjaya diserikan oleh 14 Buah Suzuki Vitara iaitu Yaman (Manda), Mat Saad (Jasafimi), Shamsee (Ice), Ikram Hakim (goodwidow), A. Halim (Halim), Hj Nor (Anor), Harith (A-Yeh), Norulamin (budakjahat), Zahid (badboy), Ujang (budakbaik), Zulkifli (gudboy), Zamzaidy (adi), Shukri (budakcemar), Muzmad (Muz) dan Sri Sulastri Dewi Mokhtar (SSDM)